PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan sejumlah 1,120 pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini sejak Januari hingga Mei lalu tidak mempunyai pekerjaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya kini sedang mengesan ejen yang membawa masuk pekerja terbabit dan mereka mungkin akan disenarai hitam.
Beliau berkata, pihaknya juga akan membantu pekerja asing itu untuk mendapatkan majikan dan peluang kerja baharu.
“Ini tumpuan kita dahulu bagi memudahcara mereka yang sudah berada di sini dan mereka kebanyakannya warga Bangladesh.
“Kita juga tahu siapa ejen dan siapa majikan itu dan kebanyakan pekerja asing ini dibawa masuk bagi segmen kerja pembersihan dan pencucian,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing ke-8 di sini hari ini.
Katanya, biarpun kerajaan sudah mempermudahkan urusan pengambilan pekerja asing ke negara ini namun, masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan pekerjaan di media sosial.
Saifuddin berkata, kerajaan kini mempermudahkan segala polisi bagi mendapatkan pekerja asing terutama bagi lima sektor ekonomi kritikal.
Menurutnya, kementeriannya mengecam pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan urusan bawa masuk pekerja asing di media sosial kerana ia jelas bertentangan dengan dasar kerajaan. – KOSMO! ONLINE