KOTA KINABALU – Ekoran merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda, seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Jalan Lintas dekat Puspakom hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.46 pagi itu, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 25 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu lelaki berusia 64 tahun dari Iramanis menuju ke Kota Marudu.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di lampu isyarat Puspakom, Jalan Lintas, kenderaan terbabit berhenti di lorong tengah disebabkan lampu isyarat pada masa itu warna merah.
“Namun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal Yamaha Y16Z6 ditunggang mangsa merempuh belakang kenderaan Mitsubishi Triton dari arah belakang menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak di atas jalan,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Zaidi berkata, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Hasil semakan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada berdekatan lampu isyarat menunjukkan motosikal disyaki ditunggang dengan melulu dengan kelajuan yang tinggi pada masa kejadian hingga melanggar belakang kenderaan. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat,” katanya.
Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE