KUALA LUMPUR – Sebanyak 256 kes buang bayi direkodkan dari tahun 2020 sehingga 2022 berdasarkan statistik yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedaya upaya melaksanakan pelbagai inisiatif advokasi dan kesedaran bagi memupuk keperihatinan dalam kalangan masyarakat terhadap kesihatan reproduktif melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Usaha ini adalah untuk membantu orang awam khususnya remaja, untuk mengelakkan diri mereka daripada terjerumus ke kancah masalah sosial seperti mengandung di luar nikah dan sebagainya,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali yang mahu tahu berapa bilangan kes buang bayi direkodkan sepanjang tahun 2020 hingga 2022 dan apakah rancangan kementerian untuk mengatasi isu pergaulan bebas.
Sementara itu Nancy berkata, LPPKN telah melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, atau PEKERTI telah dibangunkan sejak tahun 2009 dan telah dikemaskini pada tahun 2022.
“Dasar PEKERTI ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran semuapihakberkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab, dan resilien atau ketahanan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sejahtera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE