fbpx

Penghuni Henry Gurney ulang SPM raih 7A, banggakan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirul menunjukkan replika cek yang diterimanya selepas dipilih Pelajar Terbaik SPM 2022 kategori SHG pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SPM 2022 SI dan SHG di Telok Mas, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Seorang penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas di sini nekad menduduki semula peperiksaan itu demi membanggakan ibunya sehingga berjaya memperoleh keputusan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pesalah juvana yang mahu dikenali sebagai Amirul, 20, berkata, dia yang sebelum ini bersekolah di Shah Alam, Selangor telah mendaftar untuk SPM 2020, tetapi kesalahan berkaitan seksual dilakukannya menyebabkannya dimasukkan ke SHG pada Julai 2020.

Katanya, kemasukan ke SHG bukan suatu yang mudah untuk diterima ditambah pula kematian ayahnya pada 2021 menyebabkan dia mula ‘membuat’ perangai.

“Waktu itu saya tidak boleh terima dan mula buat masalah di dalam (SHG), saya menduduki SPM 2020 tetapi tidak boleh fokus belajar kerana saya ditempatkan di blok penerimaan.

“Ketika menghubungi keluarga, mak menasihati saya supaya bersabar, dari situ saya semakin pulih dan mengambil keputusan untuk menduduki sekali lagi SPM pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, menjadi impian saya untuk membanggakan ibu setelah banyak membuat dia menitiskan air mata sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SPM 2022 Sekolah Integriti (SI) dan SHG di sini, semalam.

Tambah Amirul, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang 7A, 2C dan 1D kerana belajar dalam suasana berbeza berbanding sekolah harian biasa.

Kata Pelajar Terbaik SPM 2022 kategori SHG itu, belajar tanpa gajet dan banyak menulis tangan membantunya mengingati kata kunci penting.

“Dekat dalam (SHG) langsung tidak gunakan teknologi seperti tablet dan lebih banyak menulis tangan. Bagi saya itu sangat bagus kerana membantu daya ingatan.

“Cikgu juga kerap memberi latihan soalan peperiksaan tahun-tahun sebelum ini dan soalan ramalan. Dari situ saya dapat membaca gaya soalan dan kaedah untuk menjawabnya,” ujarnya yang bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI