KUALA LUMPUR – Bilangan penumpang laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya dijangka terus meningkat menjelang suku tahun keempat 2023 dengan penambahan tren-tren baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahan tren baharu bakal beroperasi di Laluan Kelana Jaya dan penyiapan penuh kerja membaik pulih struktur retak di laluan Ampang.
Katanya, Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam dan membuat pelaburan dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan.
“Secara keseluruhan, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan Rapid Rail (termasuk Laluan Ampang, Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorail, Laluan MRT Kajang dan MRT Putrajaya) telah mencatatkan peningkatan yang ketara sejak Jan 2023.
“Pada bulan Jun 2023, purata perjalanan penumpang untuk hari bekerja adalah seramai 746,000 berbanding 613,000 pada bulan Januari 2023,” katanya ketika di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk mendorong lebih ramai pengguna laluan MRT Putrajaya.
Sementara itu, Anthony berkata, komitmen kerajaan untuk menggalakkan penggunaan MRT 2
dibuktikan melalui usaha RapidKL untuk menyediakan perkhidmatan bas perantara di sekitar Putrajaya yang melibatkan 5 laluan termasuklah laluan dari stesen MRT Putrajaya Sentral ke Presint 10, Presint 16,
Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8. – KOSMO! ONLINE