COPENHAGEN – Sebanyak enam negara melaporkan terdapat beberapa kes baharu Covid-19 yang dikaitkan dengan ladang mink, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Pertubuhan itu berkata, negara seperti Denmark, Amerika Syarikat, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden menemui virus SARS-CoV-2 pada haiwan mink.
“Berdasarkan pemerhatian awal mendapati, gambaran klinikal, tahap kesakitan dan penularan dalam kalangan pesakit yang dijangkiti adalah sama dengan virus SARS-CoV-2 yang lain.
“Bagaimanapun, varian virus yang diberi nama kluster 5 ini mempunyai kombinasi atau perubahan mutasi yang tidak diketahui, maka kesannya juga masih belum difahami,” katanya.
Justeru, WHO telah mengarahkan kajian lebih lanjut dijalankan untuk memahami dengan mendalam kesan virus tersebut terhadap diagnosis penyakit, terapi serta vaksin yang sedang dibangunkan.
Susulan penemuan tersebut, Denmark melaksanakan langkah ketat di utara negara berkenaan selepas amaran mengenai mutasi virus itu mampu berpindah daripada mink kepada manusia hingga menjangkiti 12 individu.
Copenhagen turut memberi amaran mutasi tersebut mampu memberi kesan terhadap keberkesanan vaksin yang dihasilkan sekali gus mengarahkan kira-kira 15 juta hingga 17 juta mink di negara itu dihapuskan.
Selain itu, Britain pada hari ini mula menyekat kemasukan warga asing dari Denmark yang bukan pemastautin.
Sementara itu, para saintis berkata, mutasi pada virus merupakan perkara biasa dan tidak berbahaya, manakala penemuan baharu itu dikatakan tidak mengakibatkan simptom jangkitan lebih teruk. – AFP