Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui anak-anak buahnya terpaksa bermandi peluh sebelum meraih kemenangan tipis ke 1-0 atas Kuching FA pada aksi pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Dalam perlawanan tersebut, bintang muda JDT berusia 18 tahun, Arif Aiman Mohd. Hanapi menjadi wira Harimau Selatan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-19.
Mora akui jentera serangan pasukannya gagal melakukan aksi penyudah dengan baik menyebabkan mereka tidak mampu menambah jaringan biarpun sudah membuka jaringan pada awal permainan.
“Saya juga lupa berapa banyak peluang yang kami ada untuk mencipta jaringan, terlalu banyak. Yang penting dalam perlawanan bola sepak ialah menjaringkan gol untuk menang, ia semudah itu.
“Kami sudah mencuba segalanya malam ini (kelmarin) dan mempelbagaikan bentuk serangan untuk menambah jaringan, tapi ia tidak menjadi.
“Setiap kali terlepas peluang gol, pasukan lawan menjadi lebih agresif dan ia menyulitkan kami untuk menembusi benteng mereka dan menyebabkan aksi ini semakin mencabar dan sengit hingga babak akhir perlawanan.
“Saya berharap kami lebih bernasib baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Harimau Selatan mara ke pusingan suku akhir bertemu Kuala Lumpur selepas skuad The City Boys itu mendapat kemenangan percuma ekoran ketiadaan Sabah.
Ditanya mengenai kredibiliti pasukannya yang dilabel ‘super team’, pengendali kelahiran Mexico itu mempunyai pandangan yang berbeza dan beranggapan saingan Piala Malaysia masih terbuka buat semua pasukan.
“Saya memandang JDT dari sudut yang berbeza, kami masih belum menang dan perjalanan kami masih jauh. Ini adalah saingan baharu, ia tidak sama seperti sebelum ini dan cabarannya pasti besar,” katanya.