PETALING JAYA – Rata-rata peniaga rokok elektronik atau ‘vape’ menyambut baik usaha kerajaan mengenakan cukai ke atas semua semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik bermula 1 Januari tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya mereka, kerajaan perlu menyediakan satu garis panduan lengkap berkenaan perlaksaan cukai terbabit bagi memudahkan urusan jual beli antara peniaga dengan pembeli.
Tambah mereka lagi, kerajaan juga perlu sentiasa mengawal dan menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh agar perniaga vape yang membayar cukai ini tidak ditindas oleh peniaga ‘underground’ atau haram.
Menurut seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Khairul, 30-an, dia amat menyokong langkah kerajaan mengenakan cukai ke atas rokok elektronik kerana ia sebagai satu petanda bahawa penjualan gajet itu akan ‘dihalalkan’ selepas ini sama seperti rokok.
“Selain itu, ia juga boleh memberikan pendapatan tambahan kepada kerajaan sama seperti cukai rokok yang dikenakan kepada peniaga rokok sebelum ini.
“Bagi peniaga seperti saya, besar harapan selepas ini supaya perniagaan vape ini menjadi ‘halal’ dan kami tidak perlu takut jika ada serbuan oleh pihak penguatkuasa kerana barangan kami tidak akan dirampas seperti sebelum ini,”katanya yang juga peniaga vape di Kampung Baru, Kuala Lumpur ketika dihubungi Kosmo! tadi.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada peranti dan cecair itu akan naik harga selepas ini, Khairul berkata ia tidak menolak kemungkinan itu.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu akan dibuat selepas kerajaan memperincikan cukai yang akan dikenakan kepada industri rokok elektronik itu.
“Harga mungkin naik, tapi buat masa ini ia masih lagi sama kerana baharu semalam kerajaan umumkan cukai. Kita tunggu dulu cukai apa yang mereka kenakan.
“Kita juga mesti menjaga pelanggan sedia ada, jika semua naik, mungkin orang tidak hisap vape lepas ini, jadi kita tunggu dulu apa perincian cukai dan baru kita pertimbangkan tentang harga,” katanya yang sudah lebih lima tahun terbabit dalam industri rokok elektronik.
Senada dengan Khairul adalah seorang lagi peniaga vape yang mahu dikenali sebagai Ken, 27 tahun yang turut bersetuju dengan langkah kerajaan mengenakan cukai ke atas peranti dan cecair vape.
Jelasnya, dengan cara ini sahaja industri vape yang ‘tergantung’ statusnya oleh kerajaan bakal dijadikan satu industri yang halal selepas ini.
“Bagaimanapun, kita tunggu perincian oleh kerajaan selepas ini, setakat ini kami hanya mendapat info berkenaan cukai sahaja perincian perlaksanaan masih belum jelas.
“Apa yang penting kerajaan perlu melakukan pemantauan dan kawal selia lebih ketat selepas ini agar kami peniaga yang membayar cukai tidak ditindas oleh peniaga ‘underground’,”ujarnya.
Semalam, dalam pembentangan Belanjawan 2020 kerajaan akan mengenakan duti eksais pada kadar 10 peratus ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per milimeter. -K! ONLINE