JAKARTA – Seorang suami tergamak membakar isterinya pada Jumaat lalu kerana tidak mematuhi larangan supaya tidak bekerja di kafe, lapor portal berita analisadaily semalam.
Ketua Polis Tanjung Balai, Ahmad Yusuf Afandi memberitahu bahawa suspek ditangkap setelah keluarga mangsa membuat aduan. Menurut mereka, mangsa tidak mematuhi larangan suaminya yang cemburu buta.
Si suami dikatakan menyiram minyak tanah dan menyalakan api pada tubuh isterinya dengan menggunakan mancis.
Dua orang saksi yang melihat kejadian tersebut kemudian membawa si isteri ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ahmad berkata, berikutan kejadian tersebut, si isteri mengalami melecur di kedua lengan, sebahagian wajah dan dadanya.
Berdasarkan laporan dan keterangan saksi, polis kemudian menangkap suspek dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. – Agensi