fbpx

[VIDEO] Premis didaftar restoran tapi beroperasi sebagai pusat hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian GRO warga asing dan tempatan yang ditahan dalam operasi di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada pukul 8 malam, semalam.

PUTRAJAYA – Sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur bukan sahaja beroperasi secara haram dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebaliknya turut menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Pusat hiburan haram di Kuchai Lama itu bagaimanapun berjaya diserbu penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam semalam biarpun diawasi beberapa tonto.

Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, JIM dengan kekuatan 18 anggota berjaya menahan 24 pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan tiga yang lain termasuk pekerja warga asing dan tempatan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, antara ditahan termasuk 18 wanita warga Vietnam, Thailand (3) dan masing-masing seorang dari Laos, Kemboja dan Filipina selain tiga lelaki warga Myammar yang juga pekerja premis berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati, premis berkenaan hanya mempunyai lesen perniagaan restoran dan kedai makan bukannya lesen pusat hiburan atau kelab malam.

“Ketika serbuan, premis diawasi beberapa tonto bagi menghidu kehadiran pihak berkuasa malah, beberapa GRO dikesan cuba meloloskan diri menggunakan pintu di belakang pentas dan tandas namun, digagalkan penguatkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati pusat hiburan tersebut menerima kunjungan pelanggan yang ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB Covid-19 yang sedia ada.

“Ketika serbuan, lebih 80 pelanggan warga tempatan sedang berhibur dan bermesra di pusat hiburan tersebut. Kesemua pelanggan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, setiap GRO mampu memperoleh antara RM500 hingga RM2,000 sehari menerusi aktiviti pelekat atau ‘token stickers’ diberikan pelanggan masing-masing.

Khairul berkata, aktiviti token stickers menjadi trend baharu GRO mendapatkan tips daripada pelanggan bagi menggantikan aktiviti kalungan bunga.

Menurutnya, nilai pelekat bermula dari RM100 hingga RM1,000 di mana pelanggan akan memberikannya sebagai tips kepada wanita-wanita yang mereka pilih atau disukai sebelum diberi layanan.

“Difahamkan, aktiviti ini sekian lama dijadikan sebagai satu persembahan istimewa di pusat hiburan tersebut sebagai daya tarikan pelanggan ke premis pada musim PKPB Covid-19,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati, wanita warga asing itu memasuki negara menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari dan mereka dipercayai masuk sebelum sekatan perjalanan antarabangsa bermula Mac lalu. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI