fbpx

Tolong buka mata, KL City berisiko ‘tutup kedai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain dan pegawai pasukan KL City meraikan kejayaan melangkah ke pentas final selepas menewaskan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin. - PUQTRA HAIRRY ROSLI

KEJAYAAN KL City FC melangkah ke pentas akhir Piala FA membuktikan kemelut dalaman bukan penghalang sesebuah pa­sukan memburu kejuaraan.

Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, pencapaian tersebut harus membuka mata pihak terlibat agar membantu skuad warga kota kekal bernyawa dalam liga tempatan.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, KL City membuktikan kemampuannya selepas mara ke perlawanan akhir buat tahun ketiga berturut-turut meskipun hanya turun dengan reputasi kelab kerdil.

“Selama 30 tahun kelab ini tidak berbuat sesuatu atau mengecapi apa-apa dan hanya beraksi dalam divisyen satu atau dua. Kami juga serba kekurangan tanpa pusat latihan, stadium dan bajet.

“Begitupun, KL City tetap kental ke final Piala Malaysia pada 2021 dan bergelar juara, final Piala AFC tahun lalu (naib juara) dan kini ke final Piala FA dengan pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

KL City mengesahkan tiket ke final Piala FA menundukkan Terengganu FC (TFC) 4-2 menerusi penalti dengan penjaga golnya, Muhammad Azim Al Amin muncul wira skuad The City Boys.

Penjaga gol B-23 negara itu cemerlang mengawasi gawang KL City daripada dibolosi selama 120 minit selain menafikan sepakan penalti Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dan Liridon Krasniqi.

Hodak menjelaskan, kelab itu berpotensi menjadi antara pasukan tempatan terbaik, namun berisiko untuk ‘tutup kedai’ sekiranya gagal mengatasi isu dalamannya.

Jelas beliau, Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard bekerja seperti ‘orang gila’ mencari peruntukan, manakala anak-anak buahnya pula cukup bersabar meskipun kadang-kala berlaku tunggakan gaji.

Dalam pada itu, Bojan memuji karakter dipamerkan barisan pemainnya wajar dan memberitahu faktor pengalaman menjadi menjadi kelebihan ketara buat skuad kendaliannya.

“Kami sudah menjangkakan aksi yang sukar, namun tidak banyak peluang terhasil kerana TFC dan KL City dilihat enggan mengambil risiko sehingga diheret ke penentuan penalti.

“Semua pemain KL City menjadi tunjang kemenangan malam ini (kelmarin) dan kekal fokus ketika pemain pasukan lawan sudah rebah keletihan selepas dua jam ‘bertempur’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI