PETALING JAYA – Perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan melebihi RM100 juta setahun akan menjadi kumpulan sasaran pertama yang terlibat dengan pelaksanaan e-invois Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) secara berperingkat mulai tahun 2024.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Hisham Rusli berkata, pelaksanaan e-invois ini merupakan salah satu usaha ke arah Compliance-by-Design bagi meningkatkan tahap pematuhan cukai secara menyeluruh dan automatik yang dibangunkan berdasarkan pengalaman dan amalan terbaik pentadbir percukaian antarabangsa.
“Sehingga kini, sesi libat urus mengenai pelaksanaan e-invois telah diadakan di Lembah Klang pada 22 Mei 2023 dan di Zon Utara pada 9 Jun lalu.
“Semoga dengan penganjuran sesi libat urus siri ketiga ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada peserta Zon Sarawak mengenai pelaksanaan e-invois yang akan mempermudah proses pematuhan percukaian selaras dengan peranan LHDN sebagai pemudahcara pematuhan atau facilitator of compliance,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi libat urus pelaksanaan e-invois LHDN di Hotel Pullman Kuching, Sarawak.
Dalam sesi itu, hampir 200 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada para pengamal percukaian,badan profesional dan media Zon Sarawak. – KOSMO! ONLINE