KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melancarkan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) selama empat hari bermula esok.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, Op Khas ini bertujuan memantau dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.
“JPJ akan menjalankan penguatkuasaan yang memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama seperti memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang atau topi keledar,” katanya ketika ditemui di sidang media Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Khas sempena Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Gombak, hari ini.
Tambah Hasbi, JPJ juga akan melakukan Op Motosikal secara bersasar kepada penunggang atau pemboncang motosikal di seluruh negara.
“Fokus ini berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010-2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain.
“Ini membuktikan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ mengambil serius untuk mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE