JAKARTA, Indonesia – Seorang guru muda di Bandung, wilayah Jawa Barat mendapat perhatian ramai kerana memiliki wajah yang dikatakan mirip artis lelaki Korea Selatan, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Rezikal Ofanos atau lebih dikenali sebagai Taufanos, mula dikenali ramai selepas kerap memuat naik rakaman video memaparkan aktivitinya di sekolah.
Antara yang dikongsikan adalah ketika anak-anak muridnya yang masih kecil sedang menjalani peperiksaan akhir semester.
“Ujian akhir, santai #teacher #gurumuda. Cabaran terakhir peperiksaan akhir semester. Bersalam, menyapa dan tersenyum. Persediaan,” kata Taufanos dalam satu keterangan video.
Sementara itu, Taufanos ketika dihubungi Wolipop memberitahu bahawa selain menjadi guru, dia juga aktif sebagai pencipta kandungan di laman Instagram.
Hantaran-hantaran guru tersebut mendapat perhatian dengan ramai netizen memberikan pelbagai komen.
“Mengajar di sekolah mana? Saya mahu mendaftar anak saudara. Dia masih bayi tetapi tidak menjadi masalah kerana saya boleh menemaninya,” kata seorang netizen wanita.
“Kalau gurunya kelihatan seperti model begini, pasti saya tidak akan gagal subjek yang diajarnya,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI