fbpx

Ratusan penduduk dipindahkan susulan amaran Gunung Merapi meletus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG petani memeriksa tanamannya yang terletak berhampiran dengan Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia semalam. - AFP

JAKARTA – Pihak berkuasa semalam mula memindahkan ratusan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko di sekitar Gunung Merapi selepas amaran letusan dikeluarkan di Magelang, Jawa Tengah, lapor laman berita Jakarta Post.

Menurut pembantu bahagian kerajaan dan kebajikan awam pentadbiran Magelang, Nanda Cahyadi Pribadi, operasi yang dijalankan pihaknya turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi termasuk tentera Indonesia, polis, agensi mitigasi bencana serta sekumpulan sukarelawan.

“Penduduk sedang dipindahkan ke kampung-kampung di sekitar daerah ini bermula hari ini (semalam).

“Operasi pemindahan mengutamakan golongan seperti warga emas, kanak-kanak, wanita mengandung dan pesakit kronik daripada lebih 500 penduduk yang tinggal di sembilan buah perkampungan kecil berhampiran Gunung Merapi,” katanya.

Tambah Nanda Cahyadi, penduduk yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk 153 orang dari Kampung Paten, 160 orang dari Kampung Krinjing dan 130 orang dari Kampung Ngargomulyo yang akan dipindahkan ke Banyurojo, Mertoyudan dan Tamanagung.

“Jumlah ini adalah angka sementara dan ia dijangka akan meningkat pada bila-bila masa bergantung kepada keadaan semasa.

“Proses pemindahan ini dilakukan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak tersebut,” ujarnya.

Selain itu, Ketua Bahagian Mitigasi, Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Sleman, Joko Lelono berkata, pihaknya menyediakan tempat perlindungan sementara kepada penduduk dan haiwan ternakan berpandukan Pelan Kontijensi Merapi.

“Tiga perkampungan kecil yang akan terjejas adalah Kalitengah Lor, Kaliadem dan Pelemsari.

“Kaliadem sudah sekian lama tidak mempunyai penduduk, sebaliknya terdapat haiwan ternakan sahaja, jadi proses pemindahan boleh dilakukan kemudian,” katanya.

Terdahulu, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi (BPPTKG) telah meningkatkan tahap amaran Gunung Merapi Khamis lalu dan menjangkakan ia akan meletus tidak lama lagi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI