PERNAH meraih gelaran Miss Femina India 2013, Sobhita Dhulipala mengakui pernah ditolak sebuah syarikat produksi dengan alasan kurang cantik.
Tindakan pihak berkenaan meninggalkan impak dan menjadi satu peringatan sehingga ke hari ini biarpun sudah berada dalam senarai pelakon kelas A.
Aktres berusia 31 tahun itu mendedahkan perjalanan kariernya bukan mudah, sekali gus watak sebagai Vaanathi dalam filem Ponniyin Selvan I dan II arahan Mani Ratnam diharapkan dapat membuka mata ramai.
Sobhita mahu membuktikan rupa bukan segala-galanya dalam dunia lakonan, sebaliknya bakat paling utama.
Tidak hairan penampilan dalam naskhah yang turut dibintangi Aishwarya Rai itu meraih pujian ramai sehingga dibanjiri banyak tawaran hebat.
Bagi Sobhita, setiap individu yang ingin menceburi arena seni perlu kuat semangat supaya tidak mudah ‘dibunuh’ kata-kata pedih.