fbpx

Geng pecah rumah warga Amerika Selatan, sasar rumah elit tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD DZAFFIR menunjukkan pelbagai barangan yang dirampas oleh suspek warganegara Amerika Selatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah elit sekitar Seremban dan Lembah Klang. FOTO : NOR SHAFAWATI YUP/KOSMO!

SEREMBAN – Kegiatan jenayah pecah rumah didalangi warga asing dari Amerika Selatan yang dikesan menyasarkan rumah elit di sekitar daerah ini dan Lembah Klang berjaya ditumpaskan dengan penahanan tiga suspek kelmarin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, tiga suspek lelaki warganegara Amerika Selatan berusia 33 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan polis dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan di sekitar Seremban dan Cheras, Kuala Lumpur pada 24 Jun lalu (kelmarin) menerusi ‘Op Pintu’ yang dilancarkan.

“Pasukan serbuan telah menemui dan merampas pelbagai barang kes yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket pecah rumah tersebut melibatkan rampasan berjumlah RM500,000.

“Dengan tertangkapnya tiga suspek ini pihak polis percaya dapat menyelesaikan lebih kurang 10 kes pecah rumah di sekitar Seremban dan Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Dzaffir, gerakan memburu suspek dijalankan selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa seorang warga emas lelaki berusia 66 tahun berkaitan kejadian pecah rumah banglo miliknya di Taman Lavender Height di sini pada pukul 11 malam, 22 Jun lalu.

“Kejadian pecah rumah itu berlaku antara 7.10 malam hingga 9 malam semasa ketiadaan penghuni rumah.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui tingkap bilik tidur bahagian bawah dan mengambil wang tunai pelbagai mata wang serta barang berharga yang berada di bilik tersebut,” katanya.

Jelas Ahmad Dzaffir, modus operandi sindiket pecah rumah warganegara Amerika Selatan itu ialah menyasarkan rumah mewah dan elit yang tidak berpenghuni selain mengekor rapat kenderaan mangsa.

“Kebanyakan rumah yang menjadi sasaran adalah kawasan berpagar di mana suspek dipercayai masuk menggunakan kenderaan disewa.

“Kemudian suspek akan mengikut rapat kenderaan penghuni di taman perumahan, apabila mereka masuk menggunakan kad akses sebelum melakukan jenayah pecah rumah,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, setakat ini pihak polis masih menyiasat dari pelbagai sudut sama ada terdapat penglibatan orang tempatan dan tidak menafikan kemungkinan ada suspek lain terlibat.

“Kesemua suspek yang ditahan dikesan pertama kali masuk ke negara ini pada awal Jun lalu dan kesahihan pasport masih dalam siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai pasport negara Amerika Selatan. Pihak kami sedang mendapatkan pengesahan dari kedutaan dan Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas daripada suspek termasuk wang tunai pelbagai mata wang dianggarkan bernilai RM3,000, 12 utas jam tangan, barang kemas dan beg berjenama.

“Turut dirampas dua kenderaan disewa iaitu Honda CRV warna hijau gelap dan Perodua Bezza warna biru dipercayai digunakan suspek dalam jenayah pecah rumah ini keseleruhan rampasan berjunlah RM500,000,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI