MADRID – Pelumba Sepanyol, Mikel Landa akan mengetuai pasukan Bahrain Victorious menjelang saingan Tour de France (TdF) yang akan memulakan peringkat pertama perlumbaan di Bilbao 1 Julai nanti.
Saingan kali ini dianggap sangat berbeza buat pasukan tersebut selepas kehilangan rakan sepasukan, Gino Mader yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan pada peringkat kelima Tour de Suisse.
Justeru, Landa sedia untuk menampilkan aksi terbaik sepanjang saingan jelajah tersebut, lebih-lebih lagi TdF kali ini akan bermula di laman sendiri dengan jarak sejauh 182 kilometer (km).
“Kami akan berlumba dan membawa memori Gino (Mader) bersama. Setiap pelumba pasukan ini akan menjadikan Gino sebagai inspirasi pasukan untuk mencatat keputusan terbaik di setiap peringkat perlumbaan.
“Peringkat pertama perlumbaan akan bermula di Sepanyol, jadi saya sudah dapat rasakan keterujaan tersebut kerana peminat di sini sangat gilakan perlumbaan seperti TdF, ia sesuatu yang istimewa,” katanya.
Dalam pada itu, Landa juga meletakkan sasaran untuk bersaing mendapatkan jersi kuning walaupun sedar ia bukan perkara mudah kerana perlu berdepan cabaran pelumba-pelumba lain.
“Sudah tentu seboleh-bolehnya saya mahu tamatkan saingan dengan podium GC (kategori keseluruhan) selain memenangi peringkat perlumbaan. Itulah impian saya,” ujarnya. – AGENSI