fbpx

Bantuan STR tampung belanja dapur, Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai menyatakan kele­gaan apabila bayaran Sumba­ngan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 dipercepatkan kerajaan membolehkan mereka menampung tekanan kos sara hidup tinggi terutama penduduk di bandar serta warga emas.

Seorang penerima yang mahu dikenali Hashimah, 62, mengakui dia bergantung dengan STR untuk meringankan beban perbe­lanjaan keperluan di rumah.

Katanya, meskipun bergantung dengan STR, itu tidak bermakna dia tidak berusaha untuk meningkatkan taraf hidup.

“Saya ada jual nasi lemak dan dihantar ke beberapa buah gerai. Sebelum ini saya ada buka gerai sendiri tetapi disebabkan usia makin meningkat, kudrat juga berkurang saya berniaga sendiri.

“Di bawah bantuan STR ini saya terima RM600 dan bakal dapat RM200 untuk Fasa 3. Wang yang bakal diterima nanti saya sudah rancang untuk membeli bahan basah dan kering untuk dijadikan ‘stok’ makanan di rumah selama sebulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Seorang pekerja swasta, Mohd. Ashraf Isa, 30, berkata, wang STR ini sedikit memberi kelegaan kepadanya sementara menunggu gaji hujung bulan ini.

Katanya, dia yang mempunyai seorang anak bersyukur dan akan membelanjakannya untuk membeli barangan keperluan untuk keluarga.

“Saya terima STR bagi pendapatan isi rumah bawah RM2,500, dengan seorang anak saya layak dapat RM1,500.

“Untuk Fasa 3 ini saya akan terima RM400, rasa sangat bersyukur memandangkan Aidiladha sudah dekat, sekurang-kurangnya dengan bantuan itu kami dapat membeli sedikit barangan untuk memasak juadah di pagi raya nanti,” ujarnya.

Di Kota Bharu, seorang suri rumah, Syarifah Ismail, 39, berkata, bantuan STR yang diperoleh akan diguna untuk perbelanjaan diri dan persekolahan dua anak.

“Saya terima STR sebanyak RM200. Sejujurnya, kurang dari tempoh dua minggu bantuan itu habis digunakan. Namun, saya tetap bersyukur dengan bantuan kepada golongan B40 ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Siti Maisarah Azman, 25, yang beker­ja sendiri turut menerima STR RM150 dan wang itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan rumah dan peralatan melukis.

“Selain bekerja sendiri, saya juga membuka kelas lukisan. Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli peralatan melukis. Bantuan STR ini pendek kata meringankan beban saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI