PETALING JAYA – Ketidakstabilan politik dalam kerajaan terdahulu membantutkan usaha untuk menaik taraf Malaysia ke Tier 1 dalam memerangi jenayah rentas sempadan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara sebelum ini berada di kedudukan Tier 3 namun dipertingkatkan ke taraf Tier 2.
“Ia adalah usaha kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita berusaha untuk mempertingkatkan ke taraf Tier 1 dimana rakyat Malaysia seperti negara-negara Tier 1 yang lain tidak perlu memohon visa untuk mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat (AS).
“Tetapi kedudukan itu tidak dapat dicapai disebabkan oleh pertukaran kerajaan dan mungkin soal untuk menaik taraf Malaysia ke Tier 1 itu bukan menjadi keutamaan kerajaan ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI NAA) Asia Pasifik Ke-23, di Sunway Resort Hotel, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, menuduh individu yang mempunyai nama Islam sebagai pengganas adalah isu salah tafsiran dan prasangka.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu laporan oleh satu kumpulan Islam di AS mendedahkan lebih 98 peratus nama dalam senarai pemantauan FBI terdiri daripada nama orang Islam.
“Nama saya Ahmad, tapi saya bukan terrorist (pengganas). Ini kerana ibu bapa saya pilih Ahmad sebelum Zahid sebagai nama saya.
“Saya rasa masalahnya dari segi salah tafsiran. Kita menghargai kerajaan AS yang memandang serius isu ini. Polisi kerajaan AS amat jelas dan ia tidak ada prasangka perkauman atau agama yang berbeza.
“Saya berpandangan persepsi dan tafsiran yang menjejaskan agama Islam itu perlu dibuang,” jelasnya.
Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan mengadakan perbincangan bersama FBI bagi mengesan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata, ia tidak sesuai dibincangkan ketika ini. – KOSMO! ONLINE