KLUANG -Lima pelajar tingkatan 4 sebuah sekolah berasrama penuh di sini ditangkap bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar junior baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, mereka ditahan ketika hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang 2.45 petang tadi.
“Pada Selasa lalu kira-kira pukul 3 petang pengadu seorang wanita membuat laporan polis menyatakan bahawa anak dan rakannya berusia 14 tahun telah dipukul oleh beberapa pelajar senior di sekolah berkenaan.
“Hasil siasatan awal, pengadu mendapat tahu mengenai kejadian pukul itu selepas memeriksa mesej di telefon bimbit anaknya yang mengadu kepada rakannya bahawa mereka telah dipukul oleh pelajar senior,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kejadian itu berlaku di bilik asrama sekolah dan berpunca akibat salah faham di antara mangsa dengan pelajar senior.
“Kedua mangsa telah mendapatkan rawatan dan diberi amaran oleh pelajar senior agar tidak menceritakan hal kejadian kepada pihak sekolah.
“Kesemua tangkapan didapati negatif dadah dalam ujian saringan air kencing dan tiada mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya.
“Kes disiasat untuk tindakan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Tangkapan akan direman di Mahkamah Kluang bagi membantu siasatan dan penglibatan dalam kes pergaduhan dan buli di sekolah berkenaan,” tegasnya. – K! ONLINE