PETALING JAYA – Usaha untuk membawa pulang seramai 755 rakyat Malaysia yang berada di Rusia, Armenia dan Belarus sedang diatur sekiranya keadaan keselamatan menjadi semakin tidak terjamin.
Ia susulan pengisytiharan operasi memerangi pengganas (CTO) yang diumumkan di Moscow dan wilayahnya pada Sabtu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberi taklimat oleh Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir berkenaan perkara tersebut, kelmarin.
Ujarnya, tindakan-tindakan selanjutnya akan dilakukan segera sekiranya keselamatan rakyat Malaysia tidak dapat dijamin.
“Usaha ke arah untuk membawa pulang rakyat sekiranya keadaan semakin teruk sedang diatur oleh pihak Wisma Putra.
“Kita akan terus memantau situasi di Rusia dan kita harap kedudukan keselamatan di Moscow, Rusia dan keseluruhannya terus terjamin,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI NAA) Asia Pasifik Ke-23, di Sunway Resort Hotel, di sini, hari ini.
Sebelum ini rakyat Malaysia yang berada di tiga negara itu digesa untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat terkini mereka dengan kedutaan untuk memastikan maklumat berkaitan dan kemas kini daripada Kedutaan/kerajaan Malaysia dapat disampaikan dengan efektif dan efisien.
Ketegangan semakin memuncak di Rusia selepas kumpulan upahan Wagner diketuai Yevgeny Prigozhin, yang pernah menjadi sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan pemberontakan untuk menjatuhkan tentera Rusia.
Prigozhin berkata, pejuangnya akan mara ke Moscow, mendorong Kremlin meningkatkan langkah keselamatan merentasi pelbagai wilayah di negara itu, lapor Agensi Anadolu pada Sabtu.
Dalam perkembangan terbaharu, Prigozhin mendakwa pejuangnya memutuskan berundur bagi mengelakkan pertumpahan darah ketika mereka berada kira-kira 200km dari Moscow.
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko pula berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan ketua Wagner dengan persetujuan Putin, dan Prigozhin menerima perjanjian untuk “meredakan ketegangan”. – KOSMO! ONLINE.