SEREMBAN – Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sebelum ini dilaporkan cedera parah dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas, di sini tengah hari semalam dilaporkan stabil di Hospital Segamat, Johor.
Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang, Johor merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan.
“Anggota kini menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor di dalam pemantauan rapi dan dilaporkan stabil.
“Waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam kejadian letupan bom semalam, dua terkorban masing-masing anggota TUDM Laskar Udara 1, Mohd. Iqmal Masdi, 22 meninggal dunia di lokasi kejadian manakala jurulatih yang meninggal dunia di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd. Syuib Bidin, 33.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM.
“Didoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam kalangan hambaNYA yang beriman.
“Selain itu, diharapkan urusan rawatan kepada anggota yang cedera dipermudahkan, dilaksanakan dengan segera serta dikurniakan dengan kesembuhan. Semoga semua waris anggota yang terlibat sabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, TUDM meminta agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia selesai.
“Disamping itu, TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. -KOSMO! ONLINE