MELAKA – Seramai 800 penduduk di Taman Krubong Jaya, di sini terpaksa menghirup udara busuk seakan-akan bau najis haiwan yang dipercayai berpunca daripada kegiatan tanaman sayuran berdekatan kawasan perumahan itu.
Menurut seorang penduduk, Noorazura Durani, 36, bau busuk itu semakin teruk sejak sebulan lalu apabila cuaca angin kuat membawa udara tercemar itu ke kawasan perumahan yang terletak kurang 50 meter.
Luahnya, kini bau busuk itu terpaksa dihidu setiap kali pulang bekerja, malah lebih membimbangkan pihak terbabit turut dikatakan melakukan aktiviti pembakaran terbuka sehingga mengeluarkan kepulan asap berwarna kuning yang dikhuatiri membahayakan kesihatan mereka.
“Bau busuk ini datang dari arah premis yang menjalankan kegiatan tanaman sayur dan kami mengesyaki mereka menggunakan najis haiwan sebagai baja organik.
“Sejak kebelakangan ini bau busuk najis ini terlalu kuat sehingga kami tidak selesa untuk berada di rumah berehat bersama keluarga terutama pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, bau busuk itu tetap menusuk hidung walaupun pintu dan tingkap rumah telah ditutup rapat.
Sementara itu, Noorazila Adzhar, 33, berkata, dia pada mulanya menyangka bau tersebut adalah bau najis kucing di hadapan rumahnya.
“Rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang terbau udara busuk ini tetapi seluruh penduduk taman meluahkan perkara sama dan mengesyaki ia berpunca dari premis berkenaan.
“Sebelum ini pun ada aduan dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika pembakaran terbuka dilakukan dan pemilik tempat itu telah dikenakan saman,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Taufik Kadir, 33, mengharapkan pihak berkaitan dapat menyelesaikan segera isu berkenaan supaya mereka boleh hidup selesa seperti biasa.
“Antara perkara yang merunsingkan penduduk adalah apabila setiap kali kami pulang ke rumah untuk berehat bau tersebut amat kuat dan menggangu hidup kami,” ujarnya. – K! ONLINE