MUAR – Mahkamah Majistret Muar, hari ini membenarkan tempoh reman suspek bunuh ibu menggunakan kapak di Taman Temiang Utama, Ahad lalu, dilanjutkan sehingga 1 Julai ini.
Majistret Nurfarah Syahidah Mohd. Noh membenarkan tempoh tahanan reman ke atas suspek berusia 47 tahun itu dilanjutkan bermula hari ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, tempoh reman selama tujuh hari ke atas suspek bermula 19 Jun lalu, berakhir hari ini.
Ujarnya, pihaknya memohon melanjutkan tempoh reman untuk melengkapkan siasatan sebelum merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, suspek disyaki membunuh ibunya berusia 73 tahun dengan menetak kepala wanita itu beberapa kali dengan menggunakan kapak.
Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur suspek kerana membuat bising menyebabkannya hilang pertimbangan dan memukul kepala mangsa dengan menggunakan kapak.
Siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai rekod psikiatri lampau dan pernah menjalani beberapa rawatan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE