fbpx

PKPB Mukim Parit Buntar mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Boon Keng memeriksa pemandu lori yang melalui sekatan jalan raya sempena PKPB Parit Buntar bermula hari ini.

PARIT BUNTAR – Polis Perak menghadapi cabaran berbeza untuk mengawal pergerakan keluar-masuk penduduk di mukim Parit Buntar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kawasan itu bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, pihaknya berhadapan cabaran memandangkan majoriti penduduk bekerja di luar daerah selain kawasan tersebut yang berada di sempadan tiga negeri.

“Kebanyakan penduduk di sini majoritinya bekerja di luar kawasan ini. Ditambah pula mukim Parit Buntar ini terletak di sempadan tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini merupakan cabaran yang besar bagi pihak polis dalam memastikan penduduk di kawasan ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan sekatan jalan raya di Simpang Lima dan Kampung Kedah di sini hari ini.

Tambah Boon Keng, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki mukim ini buat sementara waktu sekiranya tiada urusan mustahak sehingga PKPB tamat.

“Jika ada urusan mustahak di sini, orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan surat kebenaran pergerakan terlebih dahulu dari balai polis.

“Bagi yang bekerja di luar atau dalam daerah ini, mereka perlu menunjukkan kad pekerja atau surat kebenaran majikan ketika diminta pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya lagi, polis turut membuat pemantauan ke atas lorong-lorong tikus yang terdapat di sekitar mukim ini selain menutup tiga jalan utama iaitu Jalan Mahkamah ke Taman Sempadan Nibong Tebal, jalan dari arah Nibong Tebal ke Parit Buntar dan jalan dari Nibong Tebal ke Jalan Sempadan.

Katanya, seramai 145 anggota polis di daerah Kerian ditugaskan untuk mengawal laluan keluar-masuk ke mukim tersebut dengan dibantu 26 anggota dari pelbagai agensi termasuk Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI