ALUNAN selawat, zikir dan qasidah merupakan salah satu cara untuk umat Islam menzahirkan pujian kepada Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW.
Oleh yang demikian, usaha itu wajar dilakukan oleh semua lapisan masyarakat sepertimana dilakukan dalam program Lendu Berselawat.
Program tersebut telah menggegarkan Dewan Taming Sari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, dengan alunan selawat, zikir dan qasidah yang melibatkan penyertaan 11,386 kehadiran secara hibrid.
Tujuan program itu dilaksanakan adalah bagi menghimpunkan umat Islam tidak kira usia, ideologi dan latar belakang.
Menariknya, program itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai aktiviti berselawat dengan penyertaan peserta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) teramai di negara ini.
Program anjuran barisan generasi muda di bawah naungan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Al-Muhibbin, Melaka itu diharap dapat menyatukan umat Islam khususnya anak muda.
Pada masa sama, ia diharap dapat memupuk perasaan mahabbah iaitu melalui qasidah dan zikir.
Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, program Lendu Berselawat amat istimewa kerana disertai oleh ulama-ulama tersohor dan disegani di negara ini.
“Kita dapat bersama ulama seperti Syeikh Razak Al Masri, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dan Habib Nael ben Taher yang berkongsi ilmu agama, memberi ibrah serta refleksi diri untuk menjadi insan lebih baik pada masa akan datang.
“Program seumpama ini perlu diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, jasmani dan rohani serta mampu memupuk nilai-nilai insaniah,” katanya.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Rasdi Zaini berkata, pihaknya mahu memupuk perhubungan sesama umat yang berterusan, tidak kira keturunan, darjat, warna kulit dan bahasa.
“Program Lendu Berselawat 2023 ini bertujuan mendekatkan warga Melaka khususnya UiTM bersama dengan pemimpin, di samping memuliakan Rasulullah SAW dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Jika perkara ini dapat direalisasikan, maka hasrat UiTM untuk mewujudkan masyarakat penyayang berlandaskan agama akan tercapai.
“Selain itu, ia antara usaha bagi menyokong agenda nasional berteraskan konsep Madani.
“Menerusi konsep ini, kami menghimpunkan generasi muda dan mendedahkan mereka dengan hiburan segar dan aktiviti positif yang berteraskan akhlak dibawa oleh Nabi Muhammad sebagai pemimpin agung,” jelasnya.
Sementara itu, pelajar Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, Nurul Ain Fathiah Mazlan berkata, penganjuran program itu perlu diperluaskan di peringkat universiti bagi mempertingkatkan penghayatan pelajar terhadap Rasulullah.
“Penganjuran program kerohanian seperti ini memberi imbangan buat diri mahasiswa dalam membentuk keperibadian dan akhlak yang cemerlang.
“Selain terdedah dengan aktiviti akademik, kepimpinan mahupun sukan, aspek kerohanian perlu bagi menzahirkan rasa rindu kepada Rasulullah dalam diri kita sebagai umat Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Exco Kerohanian dan Pembangunan Insaniah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Amir Hamzah Amran menerangkan, program itu mampu memberi suntikan semangat kepada golongan mahasiswa untuk menanam cinta kepada Rasulullah dari peringkat awal.
“Pada pendapat saya, program seperti itu wajar diperluaskan di peringkat negeri bagi mengangkat semula martabat Melaka.
“Ini kerana Melaka pernah dikenali sebagai Serambi Madinah pada satu ketika dahulu,” katanya.