LOS ANGELES, California – Satu kajian mendapati bahawa satu daripada empat rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya mereka hanya boleh membeli rumah sekiranya mewarisi kekayaan daripada seseorang, lapor akhbar New York Post semalam.
Tinjauan oleh laman OnePoll bagi pihak syarikat pemaju, Divvy Homes itu turut mendapati satu daripada setiap lima orang (19 peratus) berkata mereka perlu berkahwin dengan orang kaya untuk membeli rumah.
Tinjauan dilakukan terhadap 2,000 bukan pemilik rumah itu turut mendedahkan 53 peratus daripada mereka yakin dapat membeli rumah walau dalam apa jua cara pada suatu hari nanti.
Selain itu, 40 peratus lagi berpendapat mendapat hadiah utama loteri adalah peluang terbaik bagi membeli rumah.
Secara keseluruhannya, rata-rata rakyat AS berpendapat mereka akan mengambil masa antara tiga dan empat tahun untuk membeli rumah dan satu pertiga lagi percaya ia akan mengambil masa selama lima tahun atau lebih.
Responden-responden berpendapat mereka perlu mempunyai purata AS$76,000 (RM355,414) setahun untuk membeli rumah permulaan dan memerlukan sekurang-kurangnya AS$45,000 (RM210,386) untuk membayar wang pendahuluan. – Agensi