PETALING JAYA – Gedung perabot terkenal, IKEA Damansara ditutup sementara hari ini susulan seorang pekerja sambilan mereka disyaki positif Covid-19.
IKEA dalam satu kenyatan berkata, bagaimanapun, kali terakhir kakitangan tersebut bertugas adalah pada 30 Oktober lepas dan dia kini sedang menerima rawatan.
“Kami telah dimaklumkan pada 6 November 2020 (semalam) bahawa salah seorang rakan sekerja sambilan kami disyaki positif Covid-19 dan kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa disamping menunggu untuk diuji.
“Hari terakhir beliau bekerja adalah pada 30 Oktober lalu. Oleh itu, IKEA mengambil langkah pencegahan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sebelum dibuka semula kepada orang ramai esok,” kata IKEA di laman Facebook rasminya hari ini.
Menurut IKEA, sebagai langkah pencegahan proaktif, premis meraka akan ditutup pada hari ini untuk menjalani pembersihan dan pembersihan dalam, sesuai dengan standard Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan keseluruhan rakan sekerja, pelanggan, rakan kongsi serta komuniti kami adalah keutamaan kami.
”Kedai kami akan beroperasi semula pada esok. Kami bekerjasama rapat dengan pegawai kesihatan awam dan akan bertindak berdasarkan nasihat mereka,” katanya. – K! ONLINE