fbpx

Luahan pembaca: ‘Jangan biarkan sinki tandas sekolah bocor, pam rosak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG,

Saya tertarik dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya murid-murid sekolah dilatih untuk mencuci tandas.

Saya percaya akan ada pihak yang membantah, atas alasan, anak-anak mereka dihantar ke sekolah untuk belajar bukannya mencuci tandas.

Mereka lupa, mencuci tandas adalah sebahagian daripada pelajaran ikhtiar hidup. Murid-murid yang dilatih mencuci tandas akan belajar menghargai kebersihan.

Amalan ini telah pun dilaksanakan di negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura.

Walau bagaimanapun tanggungjawab hakiki untuk memastikan tandas bersih dan persekitaran sekolah sentiasa terpelihara, masih terletak pada kontraktor-kontraktor pembersihan yang dilantik.

Sekiranya tandas tidak dibersihkan dengan sempurna, kita menanam anggapan bahawa tandas semestinya kotor, jijik dan berbau.

Dalam hal ini (kebersihan tandas) ia juga tanggungjawab Kementerian Pendidikan dalam memastikan kemudahan yang disediakan di sekolah-sekolah sentiasa terjaga dan berfungsi.

Tandas tidak akan bersih sekiranya sinki bocor, air melimpah ke lantai dan pam tandas tidak berfungsi, menyebabkan najis bertakung dalam mangkuk tandas.

Semua pihak, kementerian, sekolah, kontraktor pembersihan yang dilantik, guru dan murid-murid mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama memelihara kebersihan.

Kontrak yang diperolehi merupakan amanah bukan sahaja memelihara kebersihan tetapi melahirkan generasi yang menghargai kebersihan. Tunaikan amanah sebaik-sebaiknya supaya Malaysia bersih, sihat dan selesa.

Noruddin Idris
Presiden Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pencucian Malaysia (MACC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI