SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan Belanjawan 2021 membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pemerkasaan dan kemajuan pendidikan masa depan Bumiputera.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim berkata, pihaknya menghargai peruntukan berjumlah RM6.5 bilion kepada institusi Bumiputera seperti universiti itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pendigitalan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Keprihatinan itu menyuntik semangat seluruh warga UiTM untuk membentuk masa depan cemerlang terutama dalam merealisasi menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025.
“Selain itu, kerajaan mengutamakan aspek pendigitalan pembelajaran TVET yang amat berpotensi menyerlahkan lagi kemampuan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar beliau, Belanjawan 2021 juga menunjukkan kerajaan komited untuk memberi respon positif berdasarkan keperluan semasa rakyat.
“Pendekatan belanjawan itu bertujuan membina semula sosioekonomi yang terjejas teruk susulan pandemik Covid-19.
“Tumpuan turut diberikan secara bersasar, terutama di kalangan yang terkesan seperti B40 dan usahawan kecil serta sederhana,” katanya.
Menurut Mohd. Azraai, kerajaan sememangnya perlu agresif menjana sektor ekonomi dan memangkin pertumbuhan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya sosioekonomi tidak menjadi tepu dan statik. – K! ONLINE