IPOH – Pelajar tahfiz yang hilang selama empat hari di sebuah kebun getah di Kampung Tanjung Sejarah, Kampung Tawai di sini, Muhammad Naufal Adzimi Mohd. Harris, 17, mendakwa mendengar suara pasukan mencari dan menyelamat (SAR), namun gagal melihat mereka.
Menurut bapanya, Mohd. Harris Muhamed, 46, berkata, perkara tersebut dimaklumkan anaknya, yang pada masa sama turut mendakwa tidak sedar bahawa dia telah hilang selama empat hari di kebun getah berkenaan.
“Dia kata duduk di sana sehari sahaja walaupun kita di sini telah mencarinya selama empat hari.
“Dia maklumkan tak sedar di mana dia berada. Pada masa sama, dia menyatakan ada mendengar suara pasukan SAR serta individu dikenali selain nampak cahaya-cahaya namun tak nampak orang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Muhammad Naufal Adzimi dilaporkan hilang pada Rabu lalu dan usaha mencarinya telah dilaksanakan pasukan SAR dengan bantuan Unit K9 Bomba, namun dia gagal ditemui.
Bagaimanapun, remaja berkenaan ditemui kelmarin pada pukul 10.58 pagi berhampiran sebuah paya yang telah pun dilakukan pencarian oleh pasukan SAR di lokasi tersebut.
Mengulas lanjut, Mohd. Harris berkata, individu yang mahir dengan perkara-perkara mistik memberitahunya bahawa mereka berjaya berinteraksi dengan Muhammad Naufal ketika kehilangannya.
“Mereka memberitahu saya bahawa Naufal memaklumkan kepada mereka ada ‘tok’ memintanya mengajar dia dan kanak-kanak di alam lain mengaji,” katanya.
Menurutnya, dia tidak bertanyakan lebih lanjut perkara tersebut kepada anaknya memandangkan telah dinasihati oleh ustaz agar tidak berbuat demikian.
Tambahnya, anaknya itu meminum air paya sepanjang empat hari kehilangannya di kebun getah berkenaan. – KOSMO! ONLINE