PADAWAN – Seorang pejalan kaki meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar lari di Batu 9, Jalan Matang di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 7 malam tadi, dan ia dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 29 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja menghala ke Batu 10, Jalan Matang.
“Semasa dalam perjalanan dengan berjalan kaki, dia telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Sehubungan itu, kata Abang Zainal, pihaknya meminta agar saksi kejadian atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
Tambahnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Padawan Inspektor Muhammad Azim di talian 011-36172665. – KOSMO! ONLINE