TAWAU – Cubaan menyeludup masuk sebanyak 12,200 bungkus rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM152,288 berjaya dipatahkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di kawasan Blok 5, Kampung Titingan malam tadi.
Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, pihaknya bertindak selepas mengesan terdapat pergerakan masuk sebuah bot laju daripada arah Pulau Sebatik menghala ke kawasan perairan Kampung Titingan sekitar pukul 9.35 malam.
“Sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) bersmama Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek.
“Apabila tiba di lokasi dimaklumkan, pasukan keselamatan telah terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan yang leka memindahkan beberapa kotak disyaki rokok seludup dari sebuah bot ke kawasan lapang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun katanya, semua suspek berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan
Ahmad Fuad berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah kotak besar yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama dipercayai tanpa kelulusan dan cukai Kastam.
“Antara jenis rokok yang dirampas termasuklah rokok Surya 800 bungkus, Nice Bold (1,800 bungkus), LA Bold (1,000 bungkus), LA Menthol Light (5,600 bungkus) dan Premium International Gold (3,000 bungkus).
“Rampasan ini adalah kejayaan terbesar yang pernah dicatatkan menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Laut dan Daratan oleh ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal April lalu,” ujarnya.
Semua barangan yang dirampas di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE