fbpx

“Ingat Azmin, aku kalahkan kau enam bulan lalu” – Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PH Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. FOTO -SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan adalah anak didiknya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut menegaskan bahawa beliau telah berjaya mengalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum ini.

“Mula-mula hendak ungkit pulak Amir, ingat aku yang naikkan kamu.

“Min ( Mohamed Azmin) ingat, aku yang kalahkan kamu enam bulan lalu (kerusi Parlimen Gombak),” katanya ketika berucap semasa melancarkan jentera PH Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin dalam konvesyen Pilihan Raya PN Selangor memaklumkan bahawa beliau bertanggungjawab untuk mengemukakan nama Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua kepada istana untuk dipilih menerajui kerajaan negeri.

Amirudin turut menjelaskan bahawa Mohamed Azmin seorang yang gelojoh dan tidak penyabar dalam mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai kemajuan Selangor.

Ujarnya, pelaburan Selangor berjaya melonjak paling tinggi sebanyak RM18 billion berbanding semasa Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar hanya sekitar RM5billion hingga RM7billion.

“Saya pun sedih, orang ini jaga MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), dia tahu tidak pelaburan ini macam mana.

“Kadang-kadang bila hendak makin tua, makin penyabar. Ini makin tua makin gelojoh. Susah hendak kata. Umur hendak masuk 60 tahun, tidak lama lagi masuk Skim Usia Warga Emas. Sabar sikit Min (Mohamed Azmin),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI