fbpx

Anak-anak pasangan maut mahu jiran jaga mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUZAIRAH Basir (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Gerik, Gerik.

GERIK – “Mami, jaga kami boleh?”.

Demikian luahan anak sulung pasangan suami isteri, Mohamad Nasir Samsudin, 44, dan Rohaya Harun, 46, yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini.

Menurut jiran pasangan suami isteri itu, Huzairah Basir, 42, pesanan tersebut diungkapkan Muhamad Amir Zaqwan, 14, ketika bertemunya sebelum remaja itu dipindahkan dari Hospital Gerik ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Dia pegang tangan saya dan pesan untuk jaga mereka tiga beradik. Kami memang rapat kerana berjiran di Taman Bakau Emas, Kangar, Perlis.

“Saya tidak beritahu pun Muhamad Amir keadaan ibu bapanya tapi saya rasa dia tahu apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Gerik di sini hari ini.

Menurut Huzairah, kali terakhir dia berhubung dengan Rohaya semalam melalui WhatsApp untuk mengundang mereka sekeluarga ke sambutan hari lahir anaknya esok.

“Kak Aya (Rohaya) beritahu nak balik ke Kelantan tapi apabila saya beritahu yang saya juga mahu ke Terengganu Isnin ini, dia maklumkan yang dia sudah balik.

“Saya tertanya-tanya apa maksudnya dengan ‘kak balik dah’. Ayat tersebut seolah-olah memberi petanda yang dia sudah tiada. Allah sebenarnya sudah beri petanda tetapi kita sahaja yang tidak faham,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Rohaya, Syamimi Aiyuni, 35, berkata, dia tidak menyangka perancangan dia dan adik beradik lain untuk berkumpul di Jeli pada Hari Raya Aidiladha ini berakhir dengan tragedi memilukan.

Katanya, kakak dan abang iparnya itu memang merancang pulang awal ke kampung kerana akan melaksanakan ibadah korban bersama adik beradik lain.

“Semalam kak Aya beritahu dia mahu ke kubur abah dan nak duduk lama-lama. Abang ipar pun cakap nak duduk lama di Jeli sebelum berjumpa ma (mak) di Gua Musang.

“Ma tidak tahu pun kakak mahu pulang ke kampung. Lagipun ma menghidap demensia, dalam seminggu dua ini dia memang selalu tanya bila kakak nak balik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori muatan simen dipandu lelaki berusia 50 tahun.

“Nahas tersebut mengorbankan pemandu dan penumpang kereta di lokasi kejadian manakala tiga anak mereka cedera parah. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah Mohamad Nasir yang bertugas di Pusat Koreksional Perlis di Kampung Guar Nangka, Mata Ayer, Arau dan Rohaya yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Layak, Jeli selepas proses bedah siasat di Hospital Gerik esok.

Difahamkan, selain Muhamad Amir, dua lagi anak pasangan itu, Nur Auni Batris, 12, dan Muhammad Zarith Haris, 7, turut dipindahkan ke HRPB untuk rawatan lanjut. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI