ALOR SETAR – Sebarang kenyataan dikeluarkan mana-mana pimpinan yang tidak kondusif berkaitan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu ditepis dan ditolak sepenuhnya.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedua-dua pihak ketika ini tidak lagi mampu untuk menoleh ke belakang bagi mengungkit sengketa lama kerana perkara tersebut sudah lapuk.
Katanya, pendekatan digunakan PH dan BN dalam menjalin kerjasama kali ini adalah menghubungkan perbezaan dan mengukuhkan gabungan.
“Misi membina kerjasama baharu dengan BN berjalan di semua peringkat dan sekarang ini pun, gerak kerja berlaku di peringkat bawah bagi menunjukkan kepada masyarakat serta pengundi bahawa kami berada di platform sama supaya tidak wujud kekeliruan.
“Pendekatan yang dibawa adalah menghubungkan perbezaan dan mengukuhkan gabungan, sebab itu kami menepis dan menolak sama sekali kenyataan-kenyataan dikeluarkan mana-mana pemimpin PH yang tidak mendukung asas tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PKR Kedah di pekarangan pejabat PKR negeri di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dekat sini, hari ini.
Saifuddin dipercayai merujuk kepada tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua malam semalam yang mendakwa BN sebagai pakatan korup sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan banyak pihak.
Selain itu, Tony juga menyuarakan harapan supaya PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, beliau sentiasa membuat penegasan terhadap pimpinan PKR agar sentiasa menjaga disiplin dan bekerja ke arah kekuatan bersama bagi mengelak perkara sedemikian daripada berlaku. – KOSMO! ONLINE.