PETALING JAYA – Perbuatan lapan wanita warga asing menawarkan aktiviti tidak bermoral melalui aplikasi Wechat memakan diri apabila ditahan Imigresen (JIM) Melaka, semalam.
Serbuan yang dibuat di beberapa hotel bajet di Melaka Raya itu mendapati ia didiami wanita asing untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran RM230 hingga RM270.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, serbuan itu dijalankan Bahagian Penguatkuasa JIM Melaka menerusi Ops Gegar pada pukul 9.45 malam.
Anggota imigresen bertindak memecah pintu bilik kerana keengganan penghuninya untuk membuka pintu semasa pemeriksaan dijalankan.
“Ada di antara wanita warga asing ini cuba menyembunyikan diri, namun mereka ditemui anggota operasi.
“Hasil pemeriksaan, lapan wanita berusia 27 hingga 33 tahun ditahan terdiri daripada lima wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand.
“Mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut diperiksa dalam operasi sama adalah lima warga tempatan yang berada di lokasi serbuan.
Dalam perkembangan lain, Anirwan Fauzee berkata, seramai 11 individu ditahan dalam Ops Sapu di penempatan pekerja asing di Krubong, pada pukul 2 pagi hari ini.
Katanya, seramai 41 warga asing, lapan berstatus penduduk tetap dan seorang warga tempatan diperiksa di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan secara menyeluruh dibuat ke atas rumah-rumah kongsi yang didiami warga asing, dipercayai bekerja di kawasan tapak pembinaan.
“Ada warga asing yang cuba lari, namun dapat diberkas. Seramai 11 lelaki warga asing berusia 21 hingga 47 tahun ditahan.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar, empat lelaki Indonesia, empat lelaki Nepal dan seorang warga Bangladesh,” ujarnya.
Mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Melaka, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE.