JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang untuk memperluas projek stesen minyak tanpa subsidi di negeri sempadan termasuklah di Perak dan Kelantan.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya kini sedang meninjau lokasi pembangunan stesen minyak tanpa subsidi di dua negeri itu.
Ujarnya, selain Kelantan dan Perak, KPDN juga melihat kawasan di Johor, Sabah dan Sarawak bagi pembangunan projek sama bagi membantu dalam mengurangkan ketirisan bahan api subsidi.
“Menerusi projek rintis stesen minyak tanpa subsidi yang telah dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, kita berjaya menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.
“Kita juga sedang buat kajian dan meninjau di Johor ini yang bersempadan dengan Singapura, kalau ada tempat sesuai dibangunkan stesen minyak bagi menjual bahan bakar kita tanpa subsidi untuk kegunaan warga asing.
“Tujuannya adalah untuk mengelak atau mengurangkan aktiviti pembelian minyak subsidi seperti yang berlaku dalam kejadian tular berkenaan,”katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE