fbpx

Hafidz Roshdi pohon privasi dihormati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon Hafidz Roshdi memohon dirinya tidak terus dihakimi khalayak. - AFIQ RAZALI

MENJADI fokus utama media dan netizen sejak isu rumah tangga dengan isteri, Shuhada ‘dipanjangkan’ ke mahkamah, pelakon Hafidz Roshdi semakin lali dengan perhatian orang ramai terhadap dirinya.

Setiap kali hadir untuk prosiding beberapa kes membabitkan perceraian, hadanah mahu pun dakwaan menumbuk Nurul Shuhada Mat Shukri, dia semakin lali dengan segala kecaman dilemparkan.

Di sebalik tindakan membutikan perkataan hanya sepatah dua atau sekadar mengangkat jari menunjukkan simbol ‘Allah yang satu’, Hafidz sesekali muncul dengan memek wajah sarat persoalan.

Malah kebelakangan ini pemilik nama sebenar Muhammad Hafidz Roshdi, 29, itu lebih selesa membungkam berbanding membalas pertanyaan media di mahkamah.

Begitupun, selepas prosiding pengesahan perceraian di Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam, awal minggu ini, dia meluahkan isi hati yang barangkali sudah lama dipendam.

Hafidz berharap krisis rumah tangga dengan isteri, Shuhada berakhir dengan baik.

Usai mahkamah menetapkan tarikh 27 Julai depan untuk keputusan kes terbabit, Hafidz mengambil peluang memperincikan isu perpisahan dengan Nurul Shuhada serta harapannya dalam menghadapi situasi kini.

Katanya, masyarakat seharusnya menghormati hak peribadinya dan keluarga, bukan mencampuri urusan mereka dengan melontarkan pandangan bersifat negatif mahu pun kecaman.

“Ada yang menegur, ada yang mengata dan ramai juga yang menjadi pengadil.

“Adalah lebih baik agar semua pihak menjaga lisan berlandaskan agama dan adab, kerana kita tidak tahu apakah yang didengar atau dibaca itu betul atau salah.

“Jadi saya berharap semua pihak menghormati privasi saya dan keluarga, demi masa depan terutama dalam mencari nafkah buat Humairah dan Umar,” katanya.

Pelakon Ku Punya Hati itu sedia maklum kerap diburuk-burukkan dalam media sosial, namun dia memilih untuk tidak membalas sebarang provokasi.

“Pihak kami berdiam diri tetapi tidak bermakna kami salah, malah kami mengambil masa ini untuk bertenang.

“Sekiranya saya juga menjawab dan berbalas-balas di media sosial, tidak akan ada kesudahan selain menjadikan keadaan semakin keruh.

“Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, setiap kita mesti terus berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Terdahulu, Hafidz dan Nurul Shuhada yang mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI