MEKAH – Bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz mengesahkan kerajaan negeri dan Persekutuan telah bersetuju untuk membantunya membina sebuah stadium bernilai kira-kira RM10 juta.
Difahamkan, stadium yang diberi nama atas seorang tokoh sukan itu akan dibina di kawasan seluas 1.6 hektar di Fasa 9 Sri Gombak, Selangor.
Menurut Subadron, 59, majlis pecah tanah telah dilakukan tetapi dia masih memikirkan bagaimana mahu meneruskan pembinaan stadium tersebut yang mempunyai kelengkapan penuh peralatan dan kemudahan sukan.
“Sebab itu saya fikir Tuhan jemput saya ke Mekah untuk menunaikan haji bersama isteri, Salwa Abdul Rahman, 58, untuk saya memohon bantuanNya. Saya tak pernah ke Tanah Suci walaupun banyak kali bermain bola sepak di Arab Saudi, Oman dan UAE.
“Salwa dah empat kali pergi umrah dan saya tak ikut. Tetapi kali ini, bila dapat panggilan Tabung Haji, saya fikir kena juga pergi sebelum 60 tahun untuk meminta pelbagai perkara terutama mengenai pembinaan stadium tersebut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Subadron, apa yang membuatkan dia beriya untuk membuat ‘kerja gila’ itu apabila memikirkan mengenai akademi bola sepaknya yang mendidik dan mengajar 300 remaja berusia 12 tahun hingga 20-an daripada seorang yang liar kepada berguna.
Tambahnya, remaja dari serata Malaysia itu diambil dan dijaga di situ sebagai saham akhirat untuknya kerana selama bermain bola sepak, dia merupakan seorang yang keras dan tegas kerana mahu fokus kepada kemenangan sahaja.
“Saya hendak buka tahfiz tetapi tiada ilmu selain susah bekerjasama dengan orang yang tak selesa dengan saya. Jadi saya buka akademi yang ada program agama sejak 12 tahun lalu,” katanya yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-34 pada 12 Jun lalu di sini.
Ujarnya, akademi dan stadium itu bertujuan membantu anak-anak orang susah supaya mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak dan mempunyai akhlak yang baik.
“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Besar Selangor sebaik pulang dari Mekah mengenai cara pengurusan dan membina stadium ini kerana ia bukan mudah. Saya suka buat perkara yang orang lain tak buat,” katanya.
Ujar Subadron, anak-anak yang menyertai akademi tersebut berbakat dalam bola sepak tetapi disisihkan kerana kemiskinan dan menjadi mangsa pilih kasih.-KOSMO! ONLINE