PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa akur masih tidak kesampaian untuk melakar kemenangan ke atas Korea Selatan apabila tewas 2-3 dalam aksi kedua siri jelajah di Pusat Latihan Nasional Jingcheon sebentar tadi.
Ini adalah kali kedua berturut-turut kelebihan dua gol dimiliki Speedy Tigers gagal membawa kemenangan selepas Rabu lalu seri 2-2 ketika aksi persahabatan pertama menentang lawan di ranking kesembilan dunia itu.
Bagaimanapun, ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj masih berpuas hati dengan prestasi individu ditunjukkan dalam perlawanan itu terutama dua pemain pertahanan muda, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhajir Abdu Rauf.
“Secara keseluruhannya, ia prestasi individu yang baik walaupun kita menggunakan struktur baharu, namun pemain nampak matang dan selesa.
“Kita akan rehat dan buat persediaan malam esok untuk perlawanan seterusnya pada 25 Jun ini,” kata Arul menerusi perkongsian video kepada media daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Skuad negara meraih dua gol padang menerusi Faizal Saari dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing pada minit kelima serta 12.
Namun, Korea Selatan bangkit memenangi perlawanan dengan tiga gol dalam tempoh sembilan minit bermula pukulan sudut penalti (m-45) dan dua jaringan padang pada minit ke-46 serta 54.
Kini, Speedy Tigers mempunyai dua peluang terakhir pada Ahad dan Selasa ini untuk cuba mencatat kemenangan dalam siri jelajah yang merupakan langkah persediaan ke Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE