PETALING JAYA – Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) meluahkan kekesalan terhadap syarikat e-hailling yang menggantung akaun rider tular baru-baru ini.
Presidennya, Ikmal Shahrin Zulkipli berkata, tindakan tersebut dianggap tidak berasas di samping berlaku kekasaran serta ugutan daripada warga asing tersebut kepada penghantar makanan berkenaan.
“Kita boleh nampak keganasan orang luar (warga asing) terhadap kita, seolah-olah tidak menghormati pekerjaan kami. Penghantar makanan juga manusia.
“Rider itu cuma marah jangan beli minyak jenis RON95. Perkara ini (digantung kerja) tak patut berlaku. Jadi kami nak bagi sokongan pada rider yang akaunnya ditahan dengan membuat laporan polis,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penghantar makanan yang tular kerana menegur dua warga Singapura mengisi minyak menggunakan tong mendakwa kehilangan kerja selepas akaun Grab miliknya digantung.
Bagaimanapun, Grab dalam kenyataan berkata pihaknya telah mengembalikan semula akaun penghantar makanan tersebut selepas selesai siasatan berhubung kejadian terbabit, semalam.
Sementara itu, Penasihat PPRPM, Bryan Ng Yih Miin berkata, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai insiden itu, hari ini.
Jelas Bryan, persatuannya berharap siasatan yang menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan undang-undang pada mereka yang bersalah.
“Berdasarkan Seksyen 351 Kanun Keseksaan, tindakan serangan dengan membuat isyarat dan melalui perkataan untuk menggunakan kekerasan terhadap individu adalah sebuah kesalahan yang serius.
“Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kedua-dua lelaki warga asing yang terlibat dalam insiden ini, selaras dengan undang- undang yang berlaku,” katanya.
Selain itu, Bryan turut menegaskan berhubung kesalahan jualan petrol bersubsidi oleh warga asing serta peranan pengusaha stesen minyak.
“Tindakan ini melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan bahawa hanya warga Malaysia sahaja yang dibenarkan membeli dan menggunakan petrol bersubsidi.
“Kami menyeru pihak berkuasa untuk membuat siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan undang-undang yang sesuai terhadap pemilik stesen minyak yang terlibat dalam menjual petrol subsidi kepada warga Singapura,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE