DENVER, Colorado – Peminat konsert penyanyi terkenal, Louis Tomlinson terpaksa melarikan diri bagi mencari perlindungan selepas dilanda hujan batu sebesar bola golf dengan sebahagian mereka cedera dalam insiden dekat bandar Denver, lapor portal berita Wion News semalam.
Hampir 100 orang cedera dengan sebahagian daripada mereka mengalami patah tulang, luka dan lebam. Konsert itu diadakan malam kelmarin di Red Rocks Amphitheater, Morrison, pinggir Denver.
Orang ramai kedengaran menjerit dan berlari bagi mencari perlindungan ketika hujan ais tersebut berlaku.
“Malam ini (kelmarin) adalah malam paling menakutkan dalam hidup saya. Saya dan saudara perempuan saya bernasib baik dapat menemui tempat berteduh di bawah papan tanda.
“Saya berdarah dan mempunyai benjolan besar di kepala akibat terkena hujan batu. Semoga semuanya selamat keluar (dari konsert itu),” kata seorang netizen.
Pasukan penyelamat West Metro Fire Rescue dipetik dalam laporan media sebagai berkata, kira-kira 90 orang dirawat di tempat kejadian kerana kecederaan yang tidak mengancam nyawa, manakala seorang penonton konsert berkongsi imej lengannya yang lebam teruk.
“Ia (hujan batu) seperti dalam filem seram,” tulis pengguna Twitter yang lain dan menyiarkan video menunjukkan hujan batu yang melanda.
Sesetengah peminat dapat mencari tempat berteduh dengan segera dan sebahagian mereka memilih untuk bersembunyi di bawah meja untuk melindungi diri daripada hujan batu.
Hujan batu itu berlaku sebelum Tomlinson naik ke pentas.
“Kecewa dengan persembahan malam ini, harap semua orang okay, saya akan kembali!” tulis penyanyi itu yang merupakan bekas bintang kumpulan One Direction di Twitter. – Agensi