PETALING JAYA – Konsert jelajah penyanyi Indonesia, Tiara Andini yang dijadualkan berlangsung malam esok di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dibatalkan secara tiba-tiba hari ini.
Pembatalan konsert Tiara Adini Live in Kuala Lumpur itu dikongsikan di Instagram rasmi, Rel-Event sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa oleh kerana isu yang tidak dapat dielakkan, konsert Tiara Andini Live in Kuala Lumpur yang telah dijadualkan untuk berlangsung pada 24 Jun, 2023 (Sabtu) pukul 8.30 malam telah dibatalkan,” katanya.
Bagaimanapun, menurut pengumuman yang dibuat pihak penganjur, harga tiket para pembeli akan dipulangkan semula melalui akaun bank pembayaran masing-masing dalam tempoh 30 hari bekerja.
“Setiap tiket konsert yang telah dibeli akan diberikan jumlah ‘refund’ (harga tiket yang tidak termasuk caj pemprosesan). Kami dari pihak Rel-Event dan pihak pengurusan artis berasa amat terkilan dan kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di platform media sosial mendapati ramai peminat meluahkan rasa kecewa gara-gara pembatalan dibuat di saat-saat akhir dan mengejutkan.
Ada di antara peminat yang sudah habis ribuan ringgit semata-mata untuk berada di konsert tersebut termasuklah yang datang dari luar negara.
“Kecewanya rasa, kami semalam lagi sudah sampai dari Indonesia semata-mata untuk melihat konsert kakak Tiara, kenapa hari ini baru diberitahu konsertnya batal,” luah Putereerii.
“Konsert Tiara Andini dibatalkan, konsert esok hari ini baru diberitahu. Anak buah saya datang dari Tawau, Sabah semalam semata-mata nak tengok konsert ini sahaja.. kesiannya la.
“Sanggup ambil AL (cuti tahunan) 3 tiga hari + tiket penerbangan ‘burn’ begitu sahaja, sabar la anak, nanti makjah bawak kikin pergi karaoke sahaja,” kongsi @KtcatsRahman di Twitter. – KOSMO! ONLINE