SEJAK ditubuhkan pada tahun 2005, kumpulan muzik terkenal asal negara seberang, Indonesia, Kangen Band terus masih diingati sehingga sekarang bahkan di Malaysia.
Populariti yang diraih kumpulan yang dianggotai oleh Andika selaku vokalis, Dodhy (gitar), Tamar (gitar), Bebe (bass) dan Izzy (keyboard) itu masih kekal ‘mewangi’ sebagai antara band terbaik Indonesia.
Deretan album dan lagu yang pernah dihasilkan kumpulan itu juga masih menjadi siulan peminat hingga ke saat ini.
Seiring dengan peredaran masa, Kangen Band bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa, khusus buat penggemarnya di Malaysia.
Konsert eksklusif yang dinamakan sebagai Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan itu bakal diadakan di Zepp, Kuala Lumpur pada 2 September 2023.
Ubat kerinduan peminat
Rindu kepada peminat, tentu sahaja Kangen Band tidak sabar untuk mendendangkan lagu-lagu bernuansa cinta yang pernah dirakamkan mereka.
Antara lagu yang pastinya diputarkan serta dimainkan pada konsert nanti termasuklah Kehilanganmu Berat Bagiku dan kegemaran ramai, Tentang Aku, Kau dan Dia.
Penganjurnya, Purosangue Entertainment memaklumkan, pihaknya gembira dan bersyukur kerana buat julung kalinya mereka berjaya membawa Kangen Band kembali ke Malaysia untuk mengadakan persembahan berskala besar.
“Saya rasa bersyukur kerana berjaya membawa Kangen Band ke Malaysia buat kali pertama selepas mendapat permintaan ramai daripada peminatnya di negara ini.
“Ramai yang minta Kangen Band datang ke Malaysia untuk mengadakan konsert. Sudah tentu peminat yang bertuah akan menikmati tawaran harga tiket konsert yang hebat.
“Kita akan menjual tiket prajualan pada harga RM200 sehingga 30 Jun ini. Pembelian tiket boleh dibuat di laman web kami,” ujarnya.
Sementara itu, mewakili Kangen Band iaitu vokalisnya, Andika berkata, mereka sudah tidak sabar untuk beraksi di depan peminat di Malaysia.
“Saya mewakili Kangen Band berasa sangat gembira kerana dapat datang ke Malaysia dan menghiburkan peminat di sini.
“Walaupun sebelum ini saya pernah membuat persembahan di negara ini, namun kehadiran Kangen Band kali ini cukup berbeza.
“Kali ini, kami akan hadir dengan sebuah persembahan khas untuk meraikan peminat yang rindukan kami. Jangan lupa membeli tiket untuk hadir ke konsert Kangen Band di Zepp, Kuala Lumpur pada 2 September nanti,” katanya.
Untaian lagu popular
Menerusi konsert yang berlangsung itu nanti, Kangen Band akan mempersembahkan lagu-lagu popularnya seperti Terbang Bersamaku, Takkan Terganti, Kembali Pulang, Tentang Aku, Kau dan Dia, Kehilangan Berat Bagiku, Cinta Sampai Mati dan Cinta Sampai Mati 2.
Selain Kangen Band, peminat juga bakal dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi jemputan iaitu Andra Bagindas.
Menariknya juga, stesen radio Suria FM dipilih menjadi radio rasmi bagi Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan.
Tiket untuk menyaksikan Konsert Live In Kuala Lumpur Kangen Band: Kangen Pada Kenangan dijual pada harga RM4,800 (VIP Box), RM355 (Diamond), RM305 (Platinum), dan RM255 (Gold).