Kebelakangan ini, ikan ‘PATI’ atau pendatang hangat dibincangkan terutamanya dalam kalangan kaki pancing sama ada perlu dilepaskan atau tidak.
Menurut sumber daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DoF), lebih 30 spesies ikan pendatang telah menjarah perairan air tawar di negara ini.
Kesemua spesies ikan pendatang itu mulanya dibawa masuk untuk tujuan akuakultur.
Nilai yang tinggi di pasaran membuatkan ramai pengusaha cuba menternak spesies tersebut dalam skala besar.
Ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan ikan berkenaan ke perairan awam setelah gagal menjaganya.
Hal ini kerana ikan tersebut melibatkan kos penjagaan tinggi, selain kekurangan tempat sesuai memandangkan sesetengah spesies boleh membesar sehingga 200 kilogram (kg).
Terkini, baung ekor merah Asia (Hemibagrus wyckioides) atau BEM Asia dikesan mula menjarah sungai di Selangor, Perak dan Pahang sehingga menyebabkan jumlah ikan asli mula berkurangan.
Jangan keliru dengan BEM Amazon, walaupun mempunyai nama hampir sama, namun spesies berkenaan mempunyai rupa fizikal berbeza.
Namun begitu, BEM Amazon masih berpotensi mendatangkan ancaman pada ekosistem perairan Malaysia.
BEM Asia berasal dari lembangan Sungai Mekong terutamanya di Laos dan Vietnam. Spesies ini sangat pelahap sehingga memakan apa sahaja yang melintas di hadapannya.
BEM mula dikesan keberadaannya di Sungai Selangor sekitar tahun 2014 dan kebanyakkan spesies kurang daripada sekilogram ketika itu.
Rupa yang seakan-akan baung tempatan membuatkan pemancing tidak begitu mempedulikannya.
Namun bermula tahun 2017, BEM bersaiz mega mula didaratkan seekor demi seekor lalu menarik perhatian seorang pemancing untuk menubuhkan kumpulan River Monster Hunter (RMH) setahun kemudian.
Menurut Pengasas RMH yang juga merupakan seorang anggota unit beruniform, Jeffry Muin, tujuan asal penubuhan kumpulan itu adalah disebabkan sering kali dibuli spesies BEM ketika memancing ikan tersebut.
Ujarnya, disebabkan itu, dia sanggup mengkaji cara pemakanan dan habit ikan tersebut.
Antara diet pemakanan BEM adalah udang galah, lampam sungai, baung kuning yang merupakan spesies asli yang banyak mendiami sungai Selangor.
BEM juga merupakan spesies yang bersifat ‘territorial’, kebiasaannya terdapat sepasang BEM mendiami lubuk pada satu-satu masa.
“Pada permulaan penubuhan RMH, kami hanya dianggotai lapan orang pemancing yang kerap memburu BEM.
“Namun pada hari ini, keahlian RMH telah meningkat seramai 180 terdiri daripada pelbagai latar belakang, aktif memburu BEM termasuk dari Perak dan Pahang.
“Kumpulan ini juga mendapat sokongan DoF terutamanya di peringkat Selangor.
“RMH sudah beberapa kali menganjurkan aktiviti melibatkan penangkapan BEM yang turut dibantu oleh DoF,” terang Jeffry.
Segala tangkapan yang melibatkan BEM akan direkodkan untuk tujuan rujukan oleh pihak DoF.
“Selain itu, RMH menyediakan hadiah kepada ahli yang berjaya menaikkan BEM terberat pada setiap bulan.
“Hadiah yang diberikan merupakan hasil tajaan daripada sebuah jenama peralatan pancing terkenal,” katanya.
Pada tahun lalu, jumlah tangkapan BEM adalah seberat 2.8 tan dengan yang terbesar 41.2kg, manakala 32.8kg untuk rekod peribadi Jeffry.
Ditanya mengenai teknik dan umpan yang jitu untuk menjerat BEM, Jeffry menjelaskan, penggunaan ‘rod popping’ PE 8-10 dan ke atas, dipadankan dengan ‘reel’ bersaiz 8,000 ke atas merupakan set paling sesuai memburu spesies itu.
Tambahnya, tali sulaman dengan kekuatan minimum 100lb, perambut 200-250lb digantung batu ladung bersaiz 10 merupakan setup yang sesuai jika ingin memancing BEM.
Ujarnya, ikan itu mempunyai kekuatan pecutan luar biasa dan sering kali terlepas jika berjaya menyusup masuk ke dalam reba.
Umpan hidup ikan puyu sebesar tapak tangan atau keli bersaiz lebih sejengkal antara umpan ‘killer’ yang dicangkuk pada mata kail bersaiz 10 atau lebih besar.
Waktu terbaik memburu BEM adalah pada sebelah malam (ikan aktif pada masa itu) dan ketika air Sungai Selangor berada pada paras tinggi.
Pastikan anda bersedia dari segi mental dan fizikal jika berhajat memburu BEM bersaiz mega.