fbpx

Mahkamah: Bekas pemandu e-hailing dijel 10 tahun, 20 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 1,619.8 gram kanabis, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nazri Sahak, 48, yang mengaku atas dua pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu yang berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 2 Julai 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memiliki dadah itu dengan berat bersih 654.1 gram dan 965.7 gram di dua lokasi iaitu di sebuah rumah dan kawasan parkir di Taman Naga Emas, Brickfields di sini antara 5.05 dan 5.15 petang pada 2 Julai 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diboleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad.

Sementara itu, di mahkamah sama, dua rakan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar Methamphetamine seberat 541.6 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lee Kim Shing, 41, dan Tan Kia Wah, 40, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata selepas menilai keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah tersebut dalam dalam jagaan dan kawalan kedua-dua tertuduh.

“Dalam kes ini, elemen niat bersama mengedar dadah juga gagal dibuktikan pihak pendakwaan terhadap tertuduh pertama dan kedua. Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar  Methamphetamine seberat 541.6 gram di sebuah rumah di Jalan Ipoh Batu 6, Sentul di sini pada 1 petang, 2 Disember 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan di baca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes ini juga dikendalikan oleh Norashikin manakala peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Kim Shing manakala Kia Wah diwakili peguam Mohd. Taufik Md Tahir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI