fbpx

Hooray X Fest Raya: CEO pula didakwa di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Alif (tengah) ketika hadir di Mahkmah Majistret hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hooray X Fest Raya, dua bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penjualan atau penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTCKL pukul 2.34 pagi pada 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif Hakim memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 27 Julai ini ditetapkan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 25 April lalu pelakon dan penerbit Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 43, Nor Azmi Jantan, 49, serta dua lagi wanita Norazah Sahud, 51, dan Norzana Rapie @ Rafie, 51, didakwa telah menipu Siti Wardina Basir, 21.

Keempat-empat tertuduh memperdaya mangsa dalam penjualan tapak perniagaan (booth) atau penyewaan tapak sempena festival Horay X Fest Raya sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di WTC di sini pukul 2.34 pagi pada 19 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dilaporkan Boy Iman dikaitkan dengan penipuan apabila namanya terpalit dalam satu program besar di WTC.

Program jualan raya Hooray x Fest Raya itu sepatutnya berlangsung pada 19 April sehingga 21 April namun telah dibatalkan pada saat akhir.

Bagaimanapun menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dan menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian.

Beberapa hari selepas didakwa, Boy Iman pernah mencetuskan pelbagai reaksi netizen apabila cuba terjun sebuah jambatan. Tindakannya itu kemudian tular selepas satu klip video memaparkan situasi itu yang dimuat naik di Instagram.

Namun, tindakannya terjun terbantut selepas ditarik seorang lelaki dan menenangkannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI