PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga 2 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Johor.
“Kedah antaranya di Langkawi, Pahang di Bentong dan Rompin, Selangor di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Negeri Sembilan di Jelebu, Seremban dan Port Dickson, manakala Johor di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi” katanya
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE